AbgZan

Siapa sangka, kebanyakan bomoh mempunyai pelbagai teknik menipu...samada menipu untuk mendapatkan wang, mahupun untuk mendapatkan kepuasan nafsu terhadap wanita...

Sudah banyak kali masuk suratkhabar tentang kehebatan bomoh menipu orang ramai, tapi masih ramai yang tertipu...

Mungkin ramai manusia yang masif naif...atau mungkin juga bomoh menggunakan ilmu pukau...

Di sini saya nak kongsi sikit apa yang saya baca dalam paper, tentang bomoh yang menipu wang...untuk mendapatkan RM600,000 daripada sorang mamat ni dengan cara memukau...dan akibatnya, mamat tu jatuh muflis, dan sanggup menggadaikan rumah. Daripada bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta terus menurun taraf kepada pengawal keselamatan...kesian betul....

Mari kita baca...

___________________________________________

Angkara percayakan pasangan bomoh untuk membuang sial, seorang lelaki kerugian RM600,000, diisytiharkan muflis dan namanya disenarai hitam institusi kewangan selepas gagal menjelaskan hutang sejak dua tahun lalu.

Mangsa, Mohan, 51, berkata kejadian bermula pada 2009 apabila dia yang mengalami masalah sukar tidur berjumpa pasangan bomoh terbabit selepas diperkenalkan rakan.


Menurutnya, pasangan bomoh terbabit datang ke rumahnya di Ipoh, Perak, dan memberitahu dia disantau serta perlu menjalani proses rawatan.

“Ketika menjalankan proses rawatan, pasangan terbabit menawarkan saya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan pelaburan yang memberi keuntungan besar iaitu 10 peratus sebulan, tetapi perlu mengeluarkan modal tinggi.


“Saya tidak mempunyai wang, jadi mereka mencadangkan saya membuat pinjaman bank. Seperti dipukau saya membuat pinjaman di enam bank dalam setahun berjumlah lebih RM400,000,” katanya.


Mohan berkata, selepas keuntungan yang dijanjikan tidak dapat, dia tidak mampu membayar hutang bank, namun entah mengapa dia masih berminat untuk meneruskan pelaburan dianjurkan pasangan terbabit.

“Saya tidak tahu bagaimana saya menjual rumah bernilai RM200,000. Sebab itu saya yakin dipukau. Akibatnya, saya diisytiharkan muflis dan kehilangan pekerjaan sebagai pengurus sebuah syarikat swasta,” katanya.


Mohan berkata, kini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji rendah dan menyewa bersama keluarga di sebuah rumah kecil di ibu negara.

“Anak juga kini terpaksa berhenti belajar selepas saya tidak mampu membayar yuran pengajian,” kata Mohan yang membuat laporan mengenai penipuan pasangan terbabit di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh Ogos tahun lalu.


Mohan berkata, dia memutuskan untuk mendedahkan kegiatan penipuan pasangan terbabit kepada media kerana mendapat tahu mereka masih aktif menipu termasuk pelajar kolej.


Dia mendakwa, 10 rakan kolej anaknya yang belajar di Kuala Lumpur menjadi mangsa bomoh terbabit dan mereka mengalami kerugian kira-kira RM300,000.


“Saya yang tidak dapat menghidu penipuan bomoh itu, memperkenalkan pasangan terbabit kepada rakan anak pada Julai tahun lalu yang terpikat dengan keuntungan pelaburan yang ditawarkan.


“Mereka mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit seorang semata-mata untuk mendapat keuntungan lumayan setiap bulan, tetapi mereka turut ditipu,” katanya.

Sumber- Metro

AbgZan
Siapa sini kenal George Soros? Pada tahun 1997/1998 beliau terkenal...beliau juga ada nama timangan yang diberi oleh Tun Mahathir, sebagai Penyangak Mata Wang...
Kerana beliau meniagakan mata wang sampai jatuh merudum mata wang di Asia ...

Selepas peristiwa tersebut, namanya terus sepi...

Tapi lately saya ada terbaca di dada akhbar mengatakan beliau sudah masuk dalam list 10 paling kaya di US, buat pertama kali....pada usia beliau 81 tahun...

Tidak mengejutkan, Bill Gates sekali lagi menduduki tangga teratas senarai berkenaan dengan harta berjumlah AS$59 bilion, meningkat AS$5 bilion, lapor Majalah Forbes semalam dalam edisi 2011 senarai tahunan orang paling kayanya.

Pengasas Microsoft itu menjadi orang paling kaya Amerika sejak 1994.

Setiap mereka yang berada dalam senarai 20 paling kaya menyaksikan kekayaan mereka meningkat, kecuali Warren Buffet yang hartanya merosot sebanyak AS$6 bilion kepada AS$39 bilion ekoran kejatuhan sahamnya dalam Berkshire Hathaway. Buffett sebelum ini menggesa Presiden Barack Obama supaya meningkatkan cukai terhadap jutawan dan berikrar akan mendermakan 99 peratus hartanya untuk kerja kebajikan.

Menduduki tangga ketujuh, Soros memiliki harta berjumlah AS$22 bilion selepas menggabungkan harta bersihnya bernilai AS$7.8 bilion dengan pelaburannya dalam emas dan sekuriti berkaitan.

Soros menukarkan sahamnya kepada tunai pada musim bunga lalu, membolehkannya mengekalkan keuntungan dan mengelak daripada kerugian ketika kegawatan pasaran ekoran krisis hutang di Eropah.

Sementara itu, Buffet menduduki tangga kedua dan kemerosotan hartanya berpunca daripada kejatuhan saham nya dalam Berkshire Hathaway sebanyak sembilan peratus antara 25 Ogos 2010 dan 26 Ogos 2011. “Beliau juga adalah bilionair paling dermawan,” kata Luisa Kroll, Pengarang Forbes. Menduduki tangga ketiga senarai itu ialah pengasas Oracle, Larry Ellison, yang nilai kekayaannya meningkat sebanyak AS$6 billion kepada AS$33 billion. - AP

Rujukan-Metro
AbgZan
Saya rasa ada satu berita baik daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Mereka merancang untuk melahirkan 4 'Bank Rakyat'. Kepada yang tahu prestasi Bank Rakyat, pasti akan rasa teruja :)

_____________________________________

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merancang untuk mewujudkan empat buah bank koperasi setaraf Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) menjelang 2020.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md. Yusof Samsuddin berkata, sebagai permulaan, sebuah bank koperasi iaitu Bank Persatuan Malaysia Bhd. (BPMB) telah beroperasi dan disyorkan beroperasi mengikut model Bank Rakyat.

Kewujudan BPMB yang baru mendapatkan status bank koperasi tahun lalu dan ditubuhkan sejak tahun 1950 dijangka memberi persaingan yang positif kepada Bank Rakyat.

Katanya, BPMB turut mempunyai mekanisme perniagaan tersendiri bagi meningkatkan persaingan antara kedua-dua bank tersebut.

"Sehingga hari ini, BPMB telah mempunyai sebanyak RM367 juta nilai saham.

"SKM akan menyelia dan memberi bimbingan kepada BPMB supaya mencapai kejayaan seperti Bank Rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Saham Bank Rakyat menjadi rebutan orang ramai berikutan dividen yang tinggi dibayar oleh bank korperasi itu, iaitu 15 peratus sejak 1999.

Ketika ditanya sama ada penubuhan BPMB bagi memberi pilihan kepada orang ramai memiliki saham bank korperasi seperti Bank Rakyat, Md. Yusof memberitahu, matlamat kedua-dua bank adalah sama.

Katanya, SKM mahu lebih banyak bank koperasi diwujudkan dan berjaya seperti Bank Rakyat.

Ditanya kemungkinan bank koperasi perlu bergabung pada suatu hari nanti berikutan kurangnya daya tahan, Md. Yusof berkata, ia bergantung kepada situasi pada waktu itu.

"Kami sukar menjangka sebarang kemungkinan akan datang, namun pertumbuhan bank koperasi pada waktu ini amat menggalakkan dan ia untuk kepentingan rakyat,'' ujarnya.

Bagaimanapun, tambah Md. Yusof, penubuhan bank-bank koperasi ini tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia.

(Sumber: Utusan)

AbgZan

Kepada pelabur-pelabur ASW 2020, anda sudah tentu tersenyum dengan dividen yang diumumkan baru-baru ini...ASW 2020 ni ternyata hebat, dan berada di tangga no.2 atau no.3 di belakang ASB di bawah PNB....

________________________________________________________

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit bagi Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2011.

Agihan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.15 sen seunit berbanding tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM909.05 juta, kenaikan sebanyak 17.72 peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya berjumlah RM772.19 juta.

Pengagihan pendapatan itu dapat dimanfaat oleh seramai 906,340 pemegang unit yang melanggan 13.94 bilion unit ASW 2020, kata beliau pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASW2020 dan berbuka puasa di Hotel Intercontinental, di sini.

Sehingga 15 Ogos 2011, ASW 2020 telah mendapat pendapatan kasar berjumlah RM1.158 bilion.

Keuntungan dari penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM526.07 juta atau 45.42 peratus manakala pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan pula menyumbang RM442.82 juta atau 38.24 peratus.

Sumber pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM189.27 juta atau 16.34 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Ahmad Sarji berkata, pengiraan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020 iaitu mulai 1 September 2010 sehingga 31 Ogos 2011.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 September.

Semua urus niaga bagi ASW 2020 akan ditangguhkan mulai 25 Ogos 2011 sehingga 1 September 2011 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen Amanah Saham Nasional Bhd. di seluruh negara mulai 2 September 2011.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan berkenaan.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan Oktober ini.


(sumber: Utusan)