Siapa sangka, kebanyakan bomoh mempunyai pelbagai teknik menipu...samada menipu untuk mendapatkan wang, mahupun untuk mendapatkan kepuasan nafsu terhadap wanita...
Sudah banyak kali masuk suratkhabar tentang kehebatan bomoh menipu orang ramai, tapi masih ramai yang tertipu...
Mungkin ramai manusia yang masif naif...atau mungkin juga bomoh menggunakan ilmu pukau...
Di sini saya nak kongsi sikit apa yang saya baca dalam paper, tentang bomoh yang menipu wang...untuk mendapatkan RM600,000 daripada sorang mamat ni dengan cara memukau...dan akibatnya, mamat tu jatuh muflis, dan sanggup menggadaikan rumah. Daripada bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta terus menurun taraf kepada pengawal keselamatan...kesian betul....
Mari kita baca...
___________________________________________
Angkara percayakan pasangan bomoh untuk membuang sial, seorang lelaki kerugian RM600,000, diisytiharkan muflis dan namanya disenarai hitam institusi kewangan selepas gagal menjelaskan hutang sejak dua tahun lalu.
Mangsa, Mohan, 51, berkata kejadian bermula pada 2009 apabila dia yang mengalami masalah sukar tidur berjumpa pasangan bomoh terbabit selepas diperkenalkan rakan.
Menurutnya, pasangan bomoh terbabit datang ke rumahnya di Ipoh, Perak, dan memberitahu dia disantau serta perlu menjalani proses rawatan.
“Ketika menjalankan proses rawatan, pasangan terbabit menawarkan saya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan pelaburan yang memberi keuntungan besar iaitu 10 peratus sebulan, tetapi perlu mengeluarkan modal tinggi.
“Saya tidak mempunyai wang, jadi mereka mencadangkan saya membuat pinjaman bank. Seperti dipukau saya membuat pinjaman di enam bank dalam setahun berjumlah lebih RM400,000,” katanya.
Mohan berkata, selepas keuntungan yang dijanjikan tidak dapat, dia tidak mampu membayar hutang bank, namun entah mengapa dia masih berminat untuk meneruskan pelaburan dianjurkan pasangan terbabit.
“Saya tidak tahu bagaimana saya menjual rumah bernilai RM200,000. Sebab itu saya yakin dipukau. Akibatnya, saya diisytiharkan muflis dan kehilangan pekerjaan sebagai pengurus sebuah syarikat swasta,” katanya.
Mohan berkata, kini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji rendah dan menyewa bersama keluarga di sebuah rumah kecil di ibu negara.
“Anak juga kini terpaksa berhenti belajar selepas saya tidak mampu membayar yuran pengajian,” kata Mohan yang membuat laporan mengenai penipuan pasangan terbabit di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh Ogos tahun lalu.
Mohan berkata, dia memutuskan untuk mendedahkan kegiatan penipuan pasangan terbabit kepada media kerana mendapat tahu mereka masih aktif menipu termasuk pelajar kolej.
Dia mendakwa, 10 rakan kolej anaknya yang belajar di Kuala Lumpur menjadi mangsa bomoh terbabit dan mereka mengalami kerugian kira-kira RM300,000.
“Saya yang tidak dapat menghidu penipuan bomoh itu, memperkenalkan pasangan terbabit kepada rakan anak pada Julai tahun lalu yang terpikat dengan keuntungan pelaburan yang ditawarkan.
“Mereka mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit seorang semata-mata untuk mendapat keuntungan lumayan setiap bulan, tetapi mereka turut ditipu,” katanya.
Sumber- Metro