AbgZan
Saya rasa ada satu berita baik daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Mereka merancang untuk melahirkan 4 'Bank Rakyat'. Kepada yang tahu prestasi Bank Rakyat, pasti akan rasa teruja :)

_____________________________________

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merancang untuk mewujudkan empat buah bank koperasi setaraf Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) menjelang 2020.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md. Yusof Samsuddin berkata, sebagai permulaan, sebuah bank koperasi iaitu Bank Persatuan Malaysia Bhd. (BPMB) telah beroperasi dan disyorkan beroperasi mengikut model Bank Rakyat.

Kewujudan BPMB yang baru mendapatkan status bank koperasi tahun lalu dan ditubuhkan sejak tahun 1950 dijangka memberi persaingan yang positif kepada Bank Rakyat.

Katanya, BPMB turut mempunyai mekanisme perniagaan tersendiri bagi meningkatkan persaingan antara kedua-dua bank tersebut.

"Sehingga hari ini, BPMB telah mempunyai sebanyak RM367 juta nilai saham.

"SKM akan menyelia dan memberi bimbingan kepada BPMB supaya mencapai kejayaan seperti Bank Rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Saham Bank Rakyat menjadi rebutan orang ramai berikutan dividen yang tinggi dibayar oleh bank korperasi itu, iaitu 15 peratus sejak 1999.

Ketika ditanya sama ada penubuhan BPMB bagi memberi pilihan kepada orang ramai memiliki saham bank korperasi seperti Bank Rakyat, Md. Yusof memberitahu, matlamat kedua-dua bank adalah sama.

Katanya, SKM mahu lebih banyak bank koperasi diwujudkan dan berjaya seperti Bank Rakyat.

Ditanya kemungkinan bank koperasi perlu bergabung pada suatu hari nanti berikutan kurangnya daya tahan, Md. Yusof berkata, ia bergantung kepada situasi pada waktu itu.

"Kami sukar menjangka sebarang kemungkinan akan datang, namun pertumbuhan bank koperasi pada waktu ini amat menggalakkan dan ia untuk kepentingan rakyat,'' ujarnya.

Bagaimanapun, tambah Md. Yusof, penubuhan bank-bank koperasi ini tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia.

(Sumber: Utusan)

Labels: edit post
0 Responses