Ok apa pun, berikut diquotekan berita daripada Utusan Malaysia:
KUALA LUMPUR 29 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM), pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 2.00 peratus.
"Sejak mesyuarat MPC yang lalu, ekonomi global telah menunjukkan tanda penstabilan dan keadaan dalam pasaran kewangan antarabangsa pada amnya bertambah baik," kata BNM dalam satu kenyataan di sini.
Sungguh pun keadaan ekonomi di negara maju masih lagi lembap, BNM berkata, kadar kemerosotan aktiviti ekonomi semakin perlahan.
"Tanda-tanda juga menunjukkan aktiviti ekonomi di kebanyakan ekonomi serantau bertambah baik," kata BNM.
BNM berkata, langkah untuk menstabilkan sistem kewangan di negara maju dan kesan terkumpul rangsangan fiskal dan monetari terus menyumbang kepada peningkatan secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi di kebanyakan negara.
"Tanda penstabilan juga ditunjukkan pada suku kedua, dengan beberapa petunjuk seperti indeks pengeluaran perindustrian dan pemberhentian pekerja telah mencatatkan penurunan yang lebih perlahan," katanya.
Pada masa hadapan, BNM berkata, keadaan pasaran pekerja dan sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik akan menyokong permintaan dalam negeri.
Selain itu, pelaksanaan rangsangan fiskal yang lebih pesat, akses kepada pembiayaan yang berterusan dan kadar inflasi yang lebih rendah juga akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi dalam negeri pada separuh kedua 2009 hingga ke tahun 2010, katanya.
"Seperti yang dijangkakan, inflasi terus menjadi sederhana dan bertukar menjadi negatif pada bulan Jun."
"Penurunan inflasi sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan statistik yang mencerminkan kenaikan inflasi pada Jun 2008, apabila harga bahan api meningkat berikutan pengurangan dalam subsidi bahan api."
BNM berkata, inflasi yang negatif dijangka hanya untuk sementara waktu dan akan bertukar menjadi positif apabila keadaan ekonomi dalam negeri bertambah baik.
"Berdasarkan penilaian yang dibuat, dengan kadar faedah semasa yang rendah dan rangsangan fiskal yang mula memberikan kesan, langkah dasar yang sedang dilaksanakan adalah memadai untuk memberikan sokongan kepada aktiviti ekonomi." - BERNAMA
Takkan baca aja, tinggalkan la komen sikit, hehe