Penjenayah wanita Melayu paling dikehendaki polis, Rohaniza Aladib, 31,
yang disyaki terbabit dengan penipuan ratusan mangsa termasuk beberapa artis terkenal tanah air sehingga mencecah RM400 juta, dipercayai melarikan diri ke luar negara bersama wang hasil kerja jahatnya.
Wanita ‘paling panas’ itu dilaporkan memperdaya beberapa artis
popular termasuk Amy Search, Hattan dan Misha Omar dengan memujuk mereka
menyertai skim cepat kaya, terus menjadi buruan polis berikutan enggan menyerah
diri walaupun selepas diarahkan berbuat demikian sejak Mac lalu.
Sumber
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, hasil siasatan
suspek dipercayai meninggalkan negara dan ada maklumat mengatakan dia kini
bersembunyi di Australia.
Menurutnya, Rohaniza bijak berlakon bagi meyakinkan
mangsa supaya melabur dalam skim pelaburan berasaskan saham syarikat rokok
antarabangsa sehingga mencecah jutaan ringgit.
“Suspek biasanya berjanji
membayar pulangan keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh pelaburan antara
10 hingga 30 hari. Biasanya, dia akan membayar keuntungan kepada mangsa ketika
membuat pelaburan kali pertama sebelum mereka membuat pelaburan susulan dengan
nilai lebih besar.
“Berdasarkan siasatan, ada di kalangan mangsa golongan VIP
termasuk seorang wanita bergelar Puan Sri yang diperdaya membabitkan jumlah
pelaburan mencecah RM26 juta,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini polis tidak
menolak kemungkinan suspek memperdaya ratusan mangsa membabitkan wang pelaburan
sehingga RM432 juta.
“Difahamkan, suspek sebelum ini
pernah ditahan ketika remaja kerana terbabit dengan kegiatan penipuan sebelum
dipenjarakan. Namun, sejurus dibebaskan, dia bergiat aktif semula sebagai penipu
dengan kaedah lebih licik dan terancang.
“Suspek turut dikesan memperkenalkan
pelbagai skim pelaburan dengan menggunakan sebuah syarikat berdaftar, Erza
Corporation Sdn Bhd untuk mengaburi aktiviti penipuan dilakukan,”
katanya.
Menurutnya, Rohaniza yang mempunyai alamat terakhir di Damansara
Indah Resort Home, Kota Damansara, Petaling Jaya, dikesan menghilangkan diri
sejak Julai tahun lalu selepas mengumpul sejumlah besar wang pelaburan daripada
mangsa.
“Polis percaya suspek memperdayakan ramai mangsa termasuk golongan
profesional dan artis terkenal dengan menawarkan pembelian saham dalam syarikat
rokok antarabangsa serta menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.
“Difahamkan,
Amy Search dan Hattan masing-masing kerugian lebih RM1 juta dan RM50,000. Selain
itu, penyanyi dan pelakon Awie serta Misha Omar turut terpedaya, namun enggan
mendedahkan jumlah kerugian,” katanya.
Difahamkan suspek turut menipu
beberapa pelakon tanah air selain ramai kakitangan kerajaan yang digula-gulakan
dengan keuntungan berlipat ganda tanpa perlu bekerja keras.
“Polis Bukit Aman
sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki suspek
yang dipercayai berada di luar negara.
“Orang ramai mempunyai maklumat
diminta menghubungi pegawai JSJK Bukit Aman di talian 03-26163747 dan
019-6000803,” katanya.
Takkan baca aja, tinggalkan la komen sikit kat bawah ni, hehe